Thursday, July 2, 2009

Konsert Anuar Zain: Lelaki Ini Yang Kaku

Oleh kerana isteri Jurublog amat meminati Anuar Zain, maka Jurublog telah membuat tempahan tiket untuk Konsert Lelaki Ini Anuar Zain pada malam tadi (1 Julai 2009).

Kesemua tiket konsert Anuar Zain pada kedua-dua malam (1 dan 2 Julai) telah habis terjual. Begitulah kehebatan populariti penyanyi lelaki tersohor negara ini. Hampir 75% penonton yang hadir adalah wanita. Dan hampir separuh daripada penonton wanita memakai skaf atau tudung. Hampir semuanya "mature ladies" i.e. bini orang atau mak orang. Maka nampaklah kita, wanita-wanita Melayu yang begitu teruja dengan Anuar Zain hingga menjerit kesukaan dan menggerak-gerakkan badan mereka semasa Anuar Zain menyanyi.

Bagi Jurublog, jika disuruh memilih sepasang penyanyi Melayu yang hebat buat masa ini, maka tanpa berhelah, Jurublog akan memilih Anuar Zain (lelaki) dan Siti Nurhaliza (wanita).

Jurublog tidak berpeluang untuk menonton konsert tiga malam Siti Nurhaliza pada hujung minggu lalu. Ini semuanya kerana lambat membuat tempahan – dan memang salah diri sendiri. Walau pun Jurublog berasa bahawa suara Siti Nurhaliza semakin kurang sedap sejak beliau berkahwin, Jurublog masih merasakan bahawa vokal Siti masih unggul berbanding dengan vokal penyanyi wanita yang lain pada masa ini.

Konsert Siti Nurhaliza mendapat pujian daripada wartawan hiburan dari Utusan Malaysia. Dapat dilihat dari gambar yang disiarkan di akhbar, bahawa konsert Siti tersebut nampak meriah dengan pakaian Siti yang pelbagai, dan disokong oleh penari-penari latar yang ramai. Vokal Siti juga mendapat pujian daripada wartawan, serta rakan-rakan artis seperti Kris Dyanti, Rossa dan Ning Baizura.

Sebaliknya, pada pengamatan Jurublog, Konsert Anuar Zain nampak kaku. Anuar Zain nampak kaku semasa konsert yang julung kali dibuat oleh beliau.

Dengan ketiadaan penari latar, Anuar Zain terpaksa bergantung kepada kehebatan vokal beliau, dan gaya persembahannya.

Malangnya, walau pun vokal Anuar Zain baik di dalam konsertnya itu, vokalnya itu kurang menyengat, terutamanya apabila menyanyi pada range yang tinggi. Mungkin beliau akan hilang suara sekiranya konsert ini berjalan selama tiga malam berturut-turut.

Gaya persembahan Anuar Zain juga agak kaku. Beliau tidak banyak bergerak ketika menyanyi, kerana ingin memastikan vokal beliau.

Musical arrangement konsert tersebut juga tidak sehebat yang diharapkan. Setelah selesai setiap lagu, "gap" yang ada nampak ketara.

Apabila selesai Anuar Zain menyanyikan lagu-lagu beliau, seperti biasa, penonton Malaysia terus keluar meninggalkan Panggung Sari, Istana Budaya, dan balik. Sepatutnya, jeritlah ”encore” atau ”we want more” supaya Anuar Zain keluar semula dan menyanyi beberapa lagu lagi. Jurublog percaya Anuar Zain ada ”spare” beberapa lagu untuk didendangkan sebagai persembahan encore beeliau.

Secara keseluruhannya, Konsert Lelaki Ini Anuar Zain tidak sehebat yang Jurublog harapkan, Jurublog bagi markah 5/10. Isteri Jurublog bersetuju dengan rating yang diberikan. Ia bukanlah konsert yang buruk, tetapi kurang berjaya.

No comments: