Friday, December 5, 2008

Larangan menggunting rambut dan memotong kuku sebelum sempurna ibadat korban

Sabda Nabi Mohamad SAW: ”Jika telah masuk sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya walaupun sedikit.” (Hadis Sahih Muslim: 1977)

Jurublog perlu mengaku bahawa Jurublog memang jahil di dalam hal-hal agama. Walau pun Jurublog sering mengamalkan ibadat korban semasa Hari Raya Haji, sebagai kebiasaannya, Jurublog akan menggunting rambut dan memotong kuku pada hari Jumaat sebelum Hari Raya untuk memastikan semuanya kemas sempena menyambut hari kebesaran umat Islam tersebut.

Guru ugama Jurublog tidak pernah menghebahkan larangan menggunting rambut dan memotong kuku kepada mereka yang berniat untuk membuat korban. Jurublog percaya kebanyakan pembaca juga tidak pernah terdengar larangan tersebut. Mungkin kerana semasa kecil, ibadat korban ini tidak berapa popular, dan kebanyakan guru ugama juga tidak berapa mampu untuk membuat ibadat korban, dan tidak belajar secara mendalam sunnah ibadah korban tersebut.

Sebab itulah, ketika Jurublog terasa begitu jahil ketika membaca artikel Mohd Yaakub Mohd Yunus (Akob) bertajuk ”Ibadat korban mengikut sunnah” di muka 15 ruangan Mega Utusan Malaysia bertarikh 4 Disember 2008.

Sunnah-sunnah Nabi seperti yang dibincangkan di dalam artikel tersebut adalah seperti berikut:-
1) Waktu perlaksanaan ibadah korban
2) Haiwan korban tersebut tidak memiliki kecacatan
3) Tidak menggunting rambut dan memotong kuku
4) Seekor unta atau lembu boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian
5) Boleh berkorban untuk diri sendiri serta ahli keluarganya
6) Ibadah korban dilaksanakan di musolla
7) Sunnah menyembelih sendiri haiwan korban
8) Menyembelih haiwan korban mengikut sunnah
9) Daging korban tersebut boleh dimakan, disedekah dan dihadiahkan
10) Tidak boleh mengupah tukang sembelih dengan daging korban

Menurut Akob, bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dia tidak boleh menggunting rambut dan memotong kukunya semenjak tarikh 1 Zulhijjah sehingga dia melaksanakan ibadah korban tersebut. Larangan menggunting rambut dan memotong kuku tidak dikenakan kepada umat Islam yang tidak berniat untuk melaksanakan ibadah korban pada tahun tersebut.

Menurut hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya nombor 1977, Nabi Mohamad SAW bersabda, ” Jika telah masuk sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya walaupun sedikit.”

Larangan memotong rambut ini termasuk juga mencabut mahu pun mencukur atau apa-apa cara yang boleh menghilangkan segala jenis rambut dan bulu di badan.

Menurut Imam al-Nawawi r.a., “Yang dimaksudkan dengan larangan memotong kuku dan rambut adalah larangan menghilangkan kuku dengan memotong, mencabut dan dengan cara lain (secara sengaja). Termasuk juga larangan menghilangkan rambut baik sama ada mencukur, memendek, mencabut, membakar, menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut dan apa jua cara sama ada bulu ketiak, misai, bulu ari-ari, rambut atau bulu-bulu lain di bahagian anggota badan yang lain”. (Rujuk Kitab Syarh Muslim karya Imam al-Nawawi, jilid 13, mukasurat 138-139. Dinukil dari kitab Ahkaam al-’Iedain fis Sunnah al-Muthaharah karya Syeikh ’Ali bin Hassan al-Halabi al-Atsari, Pustaka Imam asy-Syafie, Jakarta (2005), mukasurat 98).

Bagi mereka yang sengaja atau secara tidak sengaja memotong kuku atau pun rambut sebelum melaksanakan ibadah korban, menurut artikel tersebut, memadai dia beristighfar (memohon keampunan) kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Dia tidak dikenakan fidyah (iaini tebusan atau denda). Ibadah korbannya masih sah. (Tambahan: Jurublog difahamkan bahawa menurut jumhur ulamak, larangan memotong kuku atau rambut seperti yang di atas adalah dihukumkan makruh, dan bukan haram).

Harap pembaca-pembaca mendapat menafaat dari penulisan di atas. Terima kasih saya ucapkan kepada Akob kerana menulis artikel yang berkenaan dan memperbanyakkan ilmu kita berkenaan dengan ibadah korban.

Akhir kalam, Jurublog ingin mengucapkan Salam Aidil Adha kepada semua pembaca yang berugama Islam. Semoga kita dapat bersama-sama mendoakan agar sahabat-sahabat kita yang bertuah dan dipilih oleh Allah untuk menjadi tetamunya dan sedang menjalani ibadah Haji di Makkah, dapat menjalankan segala urusan ibadah Haji mereka dengan tenang, mudah dan sempurna, dan semoga mereka mendapat Haji yang Mabrur yang diterima sepenuhnya oleh Allah. Semoga kita semua diberi Allah peluang untuk menjalani Ibadah Haji di kemudian hari nanti, InsyaAllah. Dan kepada sesiapa yang akan mengerjakan ibadah korban, semoga Allah menerima ibadah korban kita dengan sempurna dan semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita yang lalu dan menjauhi kita dari maksiat pada masa-masa yang akan datang. Amin.

1 comment:

kakyon said...

Salam, semasa sekolah ugama adavbelajarvtentangbibadah korban. Tapi bila lama2 tidak di highlight kan perkara no.3 tu..kita jadi terlupa..