Tuesday, December 2, 2008

Ucapan bernas Ahli Parlimen Sri Gading mempertahankan Orang Melayu

Jurublog merasa bangga kerana masih ada lagi Ahli Parlimen UMNO yang berani bersuara untuk mempertahankan kedudukan orang Melayu.

Walau pun kadangkala Mohamad Aziz serta regu beliau, Bung Moktar seringkali bercakap ikut suka hati mereka, ucapan Ahli Parlimen Sri Gading ini pada 1 Disember 2008 di Parlimen patut dipuji. Sila baca Agendadaily.com untuk ulasan yang terperinci.

Disediakan berikut ini petikan dari Hansard Parlimen berkenaan dengan ucapan Mohamad Aziz:-

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]:

Salam sejahtera, selamat petang dan selamat malam.

Tuan Pengerusi, saya berterima kasih kepada Tuan Pengerusi kerana membenarkan saya mengambil bahagian di peringkat Jawatankuasa Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Saya amat berbahagia kerana Yang Berhormat Menterinya berada bersama-sama dengan kita pada petang ini. [Tepuk]

Sebuah kementerian yang penting yang dianggarkan peruntukan sebanyak RM686, 957,000 bagi tahun 2009.

Oleh sebab masa yang terhad, sebenarnya saya ada tiga perkara yang hendak saya kemukakan tetapi saya mahu memberikan penekanan kepada satu perkara berkaitan dengan Butiran 080000 - Perpaduan dan Integrasi Perkauman, yang juga menyentuh tentang Butiran 080400 - Perpaduan Masyarakat dan Integrasi Negara.

Saya ingin bertanya Yang Berhormat Menteri sekali gus bertanya kepada kerajaan apakah usaha perpaduan di kalangan kaum telah mencapai matlamat dan sasarannya. Apakah usaha kerajaan selama ini yang sentiasa hendak memupuk perpaduan antara kaum di negara ini sampai kepada matlamatnya?

Tuan Pengerusi, kita sebenarnya amat berbahagia di negara ini melalui kerjasama Perikatan di waktu kita sebelum merdeka dan selepas merdeka, sebelum 1963 dan selepas itu disambung dengan perpaduan yang diasaskan oleh UMNO, MCA dan MIC dalam Perikatan dilanjutkan kepada perpaduan dari kalangan parti-parti politik dalam negara ini yang membentuk Barisan Nasional.

Kerajaan tidak berhenti-henti berusaha, berusaha, berusaha untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat. Kita terhutang budi kepada kepimpinan dahulu yang diwakili oleh UMNO Melayu, yang diwakili oleh MCA Cina, yang diwakili MIC India. Kita merasa bahagia dengan kepimpinan-kepimpinan dahulu yang dapat menjalin kerjasama yang erat sehingga dengan perpaduan itulah kita majukan negara, kita bangunkan negara, alhamdulillah.

Tuan Pengerusi, saya pernah bekerja dengan Yang Amat Berhormat Allahyarham Tun Hussein Onn selaku wakil peribadinya. Beliau mendidik saya, mengajar saya bahawa musuh negara ini lima. Musuh negara yang lima ini masih kekal sehingga ke hari ini. Kerajaan sentiasa memerangi lima musuh negara ini untuk menentukan rakyat negara ini hidup dalam keadaan aman, harmoni dan berbahagia dalam kelangsungan kehidupan kita dalam sebuah negara.

Kerajaan amat menentang:
(i) komunis;
(ii) subversif;
(iii) perkauman;
(iv) dadah; dan
(v) rasuah.
Ini musuh negara.

Sehingga ke hari ini, pemimpin-pemimpin kita sentiasa hendak membanteras musuh negara ini, tetapi sayang, seribu kali sayang. Sayang, seribu kali sayang warisan yang ditelurkan oleh kepimpinan-kepimpinan dahulu, hari ini nampaknya sudah mula retak di sana-sini. Sudah mula cakap-cakap yang tidak menjurus kepada perpaduan telah kedengaran di kalangan kita, sesama kita. Apakah keadaan ini mampu kita teruskan dan kalau kita biarkan, apakah negara ini akan menuju kepada matlamat selamat harmoni, rakyat dan negara?

Tuan Pengerusi, sejak akhir-akhir ini, kita antara yang terbaru yang diusahakan oleh kerajaan, iaitu Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) di mana kita menyatukan rakyat, sambutlah Hari Raya Aidilfitri bukan untuk orang Islam dan Melayu semata-mata. Kita lawa, kita ajak segala kaum merayakannya. Kita sambut Tahun Baru Cina, bukan Cina semata-mata menyambut tahun baru ini. Kita ajak kaum Melayu, India dan segala kaum bersama-sama dengannya. Kita adakan perayaan Deepavali bukan hanya untuk kaum India tetapi kita ajak juga semua kaum bersama-sama. Kita ada sambutan Krismas, kita ada sambutan hari-hari Gawai dan sebagainya di Sabah dan Sarawak. Niat kita ajak semua rakyat bersatu tetapi sayang Tuan Pengerusi, kita membelanjakan beratus-ratus juta, nampaknya, matlamat ini telah pun gagal.

Saya melihat, seperti baru-baru ini pemimpin MCA sendiri mempertikaikan ketuanan Melayu. Kenapa? Apa dosa orang Melayu yang hendak dipertikaikan kemelayuannya?

Ketuanan Melayu bukan bermakna bangsa lain dalam negara ini menjadi hamba. Tidak!

Malahan sebenarnya, ketuanan Melayu itu hanyalah simbol dalam sejarah negara ini yang tidak pula hendak menghina bangsa-bangsa yang lain. MCA kalah teruk dalam pilihan raya bulan Mac 2008 yang baru ini.

Apakah kekalahan MCA, maka kekalahan itu hendak disalahkan kepada UMNO?

Betapa UMNO yang menjadi tonggak kepada Barisan Nasional, walaupun MCA kalah, menteri empat orang tetap dilantik. Timbalan Menteri tetap dilantik. Apakah orang Melayu bersifat ketuanan sehinggakan mengetepikan orang Cina? Apa yang orang Cina mahu lagi dalam negara ini? Kekayaan! Segala-galanya telah diberi. Tidak ada rasa pun orang Melayu bahawa dia telah menghina bangsa lain. Tidak. Kenapa? Kalau parti komponen dalam Barisan Nasional sendiri bersifat biadab sebegitu, diterjemahkan oleh kepimpinan nombor duanya, apa, apa yang kita harapkan? Apa yang kita harapkan? Saya tidak tahulah MCA agaknya, dia mahu agaknya peta politik negara ini hendak berubah. Apakah pemimpin-pemimpin MCA, pemimpinpemimpin GERAKAN, yang mengungkit-ungkit perkauman yang jelas anti kepada Melayu ini hendak kita biarkan. UMNO satu ketika dahulu, Dato’ Ahmad Ismail membuat sedikit ucapan yang menyinggung. Kita pecat! UMNO pecat! Tetapi MCA, apakah berani memecat kepimpinannya? Apakah GERAKAN berani memecat kepimpinannya? [Tepuk] Kenapa?

Kenapa?

Kalau orang UMNO silap sedikit, orang MCA, orang Cina melatah, orang lain melatah.

Kalau Gerakan bercakap dengan perkara-perkara yang begitu kenapa tidak ambil tindakan?

Saya harap ambil tindakan. Apakah berani kepimpinan MCA mengambil tindakan kepada pucuk pimpinannya yang biadab dan kurang ajar menyentuh tentang ketuanan Melayu ini. Saya berharaplah kepimpinan Barisan Nasional, UMNO, Ahmad Ismail, ampunkanlah dia balik! Kalau inilah sikap komponen kita yang tidak menunjukkan rasa kesetiaan dalam perpaduan kaum dalam negara ini, kenapa kita hendak menyusahkan orang UMNO yang sedikit membuat kesilapan? Inilah Tuan Pengerusi, saya kadang-kadang fikir Majlis Rumah Terbuka Malaysia ini dihapuskan. Tidak payahlah! Kalau sudah di peringkat kepimpinan sendiri pun perpaduan tidak wujud, apa yang kita harap kepada orang-orang di bawah kepimpinan kita? Di mana?

Di mana Tuan Pengerusi? [Tepuk] [Disampuk] Di mana hendak kita halakan negara kita kalau semua puak yang tertentu dalam komponen Barisan Nasional bercakap seperti parti pembangkang? [Tepuk] Ini PPP, tak sedar diri. Pasal sedikit, kata nak ugut keluar parti. Saya cadangkan PPP disingkirkan! Get out you daripada Barisan Nasional, sekarang juga! Kita peduli apa. Kini saya harap Tuan Pengerusi, minta maaflah. Minta maaf, saya bukan hendak menyinggung sesiapa. Akan tetapi saya amat cinta kepada perpaduan negara ini. Kalau masing-masing kita biarkan bercakap ikut sedap mulut, ikut sedap parti, hendak popular dari segi kaum sendiri, menghiris hati orang lain, kita tidak akan sampai ke mana-mana. Ini, apa tindakan? Apa tindakan yang patut dibuat?

Saya tak tahulah. Ini, saya minta maaf. Saya minta maaf. Oh, nampak UMNO ini lemah, orang nak buli, betul! Akan tetapi, UMNO lemah pun kerana ada sabotaj daripada rakan-rakan sendiri. Akan tetapi UMNO orang Melayu tidak pernah sabotaj! MCA bertanding dalam kawasan majoriti Melayu, menang!! Dalam kawasan saya, Dewan Negeri Parit Yani, majoriti Melayu saya tentukan, Melayu mesti menyokong MCA punya calon, pasal atas dasar perpaduan.

Ini balasan, ini balasan. Kalau sudah kata hendak ketuanan Melayu, tidak payah lantiklah MCA jadi Menteri, Timbalan Menteri. MIC, PPP, tidak ada kerusi menang. Kita lantik dia jadi senator, lantik dia jadi anggota kerajaan. Tak sedarkah ini bagaimana toleratenya UMNO, orang Melayu dalam kepimpinan negara ini untuk menentukan perpaduan kaum yang mewakili kaum-kaum ini dapat duduk bersama-sama.

Jadi ini Tuan Pengerusi, saya haraplah permainan-permainan yang berbahaya ini mesti diberhentikan dengan segera. Mesti diberhentikan dengan segera. Betul UMNO lemah tetapi jangan lupa, dalam Dewan Parlimen ini, bukan Melayu itu UMNO sahaja. Melayu juga dalam PAS.

Tiba masanya kalau diperlukan UMNO dan PAS boleh bergabung atas nama bangsa, atas nama agama, jangan lupa. Akan tetapi apakah permainan ini nak kita hidangkan kepada rakyat negara ini, jangan. Ini UMNO dan PAS ini carik-carik bulu ayam, macam kita kata mencencang air dia tidak akan putus.

Memang kita kadang-kadang ada masalah, itu biasa, tapi nanti dari segi kepentingan bangsa dan agama, tidak mustahil. Dalam politik, tidak ada perkara yang mustahil. Saya nak ingatkan, jadi jangan nak cetuskan api perkauman yang seolah-olah Melayu ini menekan, Melayu ini menghina, Melayu ini begitu, Melayu ini.

Saya nak tanya berapa ramai Melayu boleh beli tanah Cina? Mana ada Melayu beli tanah cina, tapi ratusan ribu hektar tanah orang Melayu, Cina beli. Berapa banyak tanah-tanah perumahan seluruhnya 90% orang Cina beli. Apakah orang Cina masih tidak puas? Dengan begitu sekali lembutnya orang Melayu yang jadi tunggak kepada negara ini.

Saya haraplah, saya nak beri amaran kepada pemimpin-pemimpin MCA, pemimpinpemimpin GERAKAN, tolong berhentikan permainan api ini. Kalau DAP saya tak hairan, DAP saya tak hairan, memang kerja dia dan kalau dia tak kerja itu dia tak dapat sokongan, saya tahu.

Akan tetapi parti komponen rakan kita yang selama ini satu kelambu, satu selimut yang kita belai, yang kita bela, sanggup menikam kita. Adakah ini persahabatan? Masa senang engkau peluk aku, masa susah kau nak terajang aku.

1 comment:

add said...

Ucapan syabas dan tahniah kepada YB Sri Gading.. diatas keperkasaan menjawab "Isu Ketuanan Melayu" di parlimen. Kepada orang Cina dan Keling bermuhasabah lah diri sendiri dan berpijak dibumi nyata serta Dimana Bumi dipijak disitulah langit dijunjung.