Friday, June 19, 2009

Bagi Pakatan Rakyat, Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan gabungan PKR-DAP-PAS

Itulah yang berada di benak kepala penyokong-penyokong PKR, penyokong-penyokong DAP dan penyokong-penyokong PAS yang pro-Anwar.

Pada mereka, Pakatan Rakyat sekarang ini berada di dalam keadaan yang kuat, dan sedang mendapat sokongan yang padu dari masyarakat. Barisan Nasional pula, UMNO terutamanya, berada di dalam keadaan yang lemah dan mendapat banyak tentangan daripada pelbagai sudut.

Mereka yakin, sekiranya diadakan pilihanraya pada masa ini, PR akan mendapat lebih banyak kerusi, baik di Dewan Rakyat, mahu pun di Dewan-Dewan Undangan Negeri. Dengan pertambahan kerusi gabungan PKR-DAP-PAS yang sedia ada, maka lebih mudah Brader Anwar Bin Ibrahim memujuk part-parti komponen BN yang lain untuk menyertai PR.

Bagi Brader Anwar Bin Ibrahim, memujuk sebilangan wakil rakyat dari BN memang mudah. Wakil-wakil rakyat di Sabah dan Sarawak mudah goyah pegangan politik mereka. Di sana sahaja, terdapat terlalu banyak parti komponen BN yang tidak sehaluan arahnya masing-masing. Brader Anwar Bin Ibrahim sedar bahawa beliau dan konco-konco beliau akan dapat menawan hati wakil-wakil rakyat tersebut untuk menyertai PKR atau DAP, dan lebih baik lagi, sekiranya dapat memujuk beberapa parti komponen BN di sana untuk menyertai PR.

Di Semenanjung, Gerakan, PPP dan kemungkinannya, MCA telah menunjukkan tanda-tanda bersedia untuk meninggalkan BN sekiranya jumlah kerusi PR memerlukan mereka berbuat demikian untuk menubuhkan kerajaan pusat.

Jadi, pada mereka yang menyokong kuat PR, PAS tidak perlu berbincang untuk mengadakan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO. Perpaduan UMNO-PAS hanyalah menjurus kepada perpaduan orang Melayu-Islam. Perpaduan nasional memerlukan perpaduan kesemua kaum di Malaysia.

Mereka inginkan rakyat percaya bahawa PR boleh membentuk kerajaan yang akan menyatu padukan rakyat negara ini. Tidak kisahlah, cara mereka untuk mencapai matlamat tersebut ialah dengan memecah-belahkan rakyat, terutamanya orang Melayu.

Perpaduan orang Melayu hanya akan menguntungkan UMNO. Orang bukan Islam masih tidak mempercayai PAS, dan masih percaya bahawa PAS akan membawa Malaysia ke arah sistem Islam yang radikal. Pada mereka, gabungan PKR-DAP-PAS boleh menjinakkan ideologi PAS agar menjadi lebih liberal.

Sekiranya gabungan PKR-DAP-PAS menjadi kerajaan, orang bukan Melayu yakin akan mendapat lebih banyak kuota menjadi Menteri. Jawatan-jawatan Menteri kanan akan dapat dipegang oleh orang bukan Melayu. Tidak kisahlah, apabila mereka ini memegang jawatan nanti, agenda Melayu tidak akan diambil peduli lagi. Agenda yang menjadi mainan mereka ialah agenda rakyat. Sesiapa yang memainkan isu agenda Melayu akan diambil tindakan tegas dan diheret ke mahkamah atas tuduhan hasutan.

Pada mereka, perbincangan Kerajaan Perpaduan anatara PAS dan UMNO tidak langsung menguntungkan Pakatan Rakyat. Ianya perlu ditolak dari awal lagi. Brader Anwar Bin Ibrahim memerlukan penyokong-penyokong beliau di dalam PAS untuk menggagalkan usaha tersebut. Setakat ini, usaha tersebut dapat berhasil.

Isu Kerajaan Perpaduan ini mulanya ditimbulkan oleh Hadi Awang dan PAS. Oleh kerana terdapat banyak desakan dari dalam dan luar PAS mengenai hal tersebut, maka PAS akan cuba mengenakan syarat-syarat yang sukar diterima oleh UMNO-BN sehingga menyebabkan perbincangan Kerajaan Perpaduan ini akan berkubur begitu sahaja. Media baru dan penyokong Brader Anwar Bin Ibrahim pula akan mengambil kesempatan untuk menyalahkan UMNO dan BN kerana tidak ikhlas dengan gagasan Kerajaan Perpaduan tersebut dan memperbesarkan isu penolakan syarat-syarat yang dikenakan oleh PAS kepada UMNO-BN bagi pentingan Pakatan Rakyat. Setakat ini, Brader Anwar Bin Ibrahim telah berjaya memecahkan dan menunjukkan kelemahan kepimpinan PAS melalui isu ini.

No comments: