Jurublog suka menggelarkan MeCD sebagai Kementerian McDonald kerana usahanya menggalakkan pembangunan usahawan melalui sistem francais, seperti francais McDonald.
Ministry of Entrepreneur and Cooperative Development (MeCD) merupakan jenama yang lebih baik daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KEPUNDEK). Ianya tampak lebih ”glokal”, sepertimana yang diharapkan oleh PM Najib.
Banyak program yang telah dijalankan oleh MeCD untuk memaju dan menggalakkan usahawan tempatan, termasuk pembangunan sistem francais dan vendor. MeCD juga bertanggungjawab ke atas pembangunan usahawan secara berkelompok melalui koperasi.
Secara dasarnya, pembangunan usahawan kecil dan sederhana yang diterajui oleh MeCD sedikit sebanyak berlapik dengan usaha yang dijalankan oleh SMIDEC. SMIDEC merupakan salah satu agensi yang sederhana besar di bawah MITI.
Apabila PM Najib mengumumkan senarai 1Kabinet yang baru, MeCD hilang begitu sahaja tanpa penjelasan.
Ramai bloggers yang tidak bersetuju dengan pembubaran MeCD, contohnya BigDog, Nobisha dan c-bok. Jurublog juga kurang bersetuju dengan pembubaran tersebut. Tapi PM Najib mungkin ingin mengurangkan jumlah kementerian-kementerian yang sedia ada dan telah bercambah pada era PM Pak Lah. Malangnya Kementerian McDonald yang jadi mangsa.
Sekiranya tanggapan Jurublog benar, maka mungkin program-program yang dilakukan oleh MeCD akan diambilalih oleh MITI, dan diserapkan di bawah bidang kuasa SMIDEC atau agensi-agensi lain di bawah MITI. Pembangunan usahawan di bawah MITI akan menjadi lebih menyeluruh dengan adanya MATRADE (untuk usaha mengeksport barangan) dan MIDA.
Tetapi, bagaimana pula dengan MARA yang juga terletak di bawah bidang kuasa MeCD? Mungkinkah MARA juga akan diletakkan di bawah MITI?
Jika dilihat Menterinya (Tok Pa) dan Timbalan beliau (Mukhriz), kedua-dua tokoh tersebut pernah terlibat secara langsung dengan MARA. Tok Pa pernah menjadi Menteri MARA. Mukhriz pula adalah anak didik MRSM, dan juga Presiden ANSARA (Alumni Pelajar Lepasan MRSM). Mukhriz juga terlibat secara langsung dengan aktiviti francais, dan merupakan Presiden Persatuan Francais Malaysia.
Masalahnya, MARA mempunyai agenda Melayu Bumiputera yang amat ketara. Meletakkan MARA di bawah MITI mungkin akan mencairkan keberkesanan MARA, serta menghilangkan fokus MARA dalam bidang pendidikan melalui MRSM.
Dalam masa yang sama, meletakkan MARA di bawah MITI mungkin boleh memangkinkan aktiviti pembangunan usahawan Bumiputera melalui MARA dengan adanya agensi-agensi bersangkutan seperti SMIDEC, MATRADE dan MIDA. MITI juga boleh memperluaskan skop pembangunan modal insan MARA dengan membangunkan lebih banyak institusi vokasional MARA sebagai melengkapkan jenama MRSM yang sedia ada. MITI juga mempunyai bajet kewangan yang lebih besar jika dibandingkan dengan MeCD, dan MARA memang memerlukan bajet yang tinggi untuk program-programnya.
Mungkin juga PM Najib ingin meletakkan MARA terus di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri seperti mana FELDA. Tetapi, meletakkan MARA di bawah JPM akan menambahkan birokrasi dan melembabkan aktiviti MARA.
Mungkin meletakkan MARA di bawah MOF akan lebih berkesan kerana disitulah terletaknya lubuk duit. Tetapi MARA perlu menumpukan usaha ke arah pembangunan insan, dan bukan pembiayaan.
Kita lihat sahajalah apa yang sebenarnya ingin diterjemahkan oleh PM Najib melalui rombakan agensi-agensi kerajaan melalui kementerian-kementerian yang digabungkan.
Harapan Jurublog adalah supaya MARA diletakkan di bawah Menteri yang komited dengan pembangunan modal insan Melayu Bumiputera, menggalakkan pertumbuhan usahawan Melayu Bumiputera yang glokal dan mengekalkan keberkesanan MRSM sebagai institusi pindidikan menengah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
I must say that all this while memang MECD dah banyak membantu usahawan Bumiputera bukan sajer di Semenanjung malah juga di Sarawak. Saya totally blank why suddenly the new govt "dissolved" this Kementerian.
Post a Comment