Jurublog sebenarnya memang ingin menyambung kisah berkenaan dengan Penanti dengan memaparkan opsyen-opsyen yang mungkin dilakukan oleh Barisan Nasional bagi menghadapi Pilihanraya Kecil DUN Penanti. Tetapi PM Najib telah terlebih dahulu memaklumkan kepada khalayak ramai opsyen pilihan beliau.
Seperti yang dinyatakan pada artikel yang terdahulu, DUN Penanti memang merupakan lubuk dan kubu kuat PKR kerana ianya berada di kawasan Parlimen Permatang Pauh yang diwakili Brader Anwar Bin Ibrahim. Anwar amat yakin akan menang mudah di Penanti, dan tanpa rasa gentar, telah memaksa ADUN lama, si Fairus yang tidak berwibawa, untuk melepaskan jawatan. Banyak juga agaknya duit yang Anwar counter offer pada Fairus supaya beliau tidak melompat ke UMNO. (Anwar ada menyatakan bahawa Fairus kononnya telah dipelawa untuk menyertai UMNO dengan habuan jutaan ringgit).
Komposisi lebih kurang 15,500 pengundi di DUN Penanti adalah 73% Melayu, 24% Cina dan 3% India dan lain-lain. Pada PRU12 yang lalu, Fairus menang dengan mendapat 7,346 undi (58%) berbanding dengan ADUN lama, Jalil Majid yang mendapat 5,127 undi (40%), menjadikan majoriti yang diperolehi sebanyak 2,219 undi. Terdapat 184 undi rosak. Mengikut anggaran Jurublog, peratusan 58% yang diperolehi Fairus datangnya dari Melayu (35%) dan Cina-India (23%). Ini bermakna hanya 48% pengundi Melayu memangkah PKR, dan kemenangan PKR lebih disebabkan oleh 85% pengundi Cina-India yang berpakat mengundi pembangkang untuk membolehkan DAP menguasai kerajaan negeri Pulau Pinang.
Seperti yang telah dinyatakan oleh Jurublog, Pakatan Rakyat menang kerana undi Melayu berpecah, dan kerana hampir kesemua pengundi bukan Melayu mengambil kesempatan dengan undi pecah orang Melayu untuk memenangkan calon pembangkang. Majoriti pengundi Melayu masih lagi kekal kuat di tangan BN-UMNO.
Pada artikel yang lalu, Jurublog ada membayangkan bahawa PM Najib sudah siang-siang mengaku akan kalah di Penanti. Najib telah pun menyatakan bahawa beliau ingin mencadangkan agar BN tidak bertanding di PRK DUN Penanti nanti.
Sebenarnya terdapat beberapa opsyen yang boleh dilakukan oleh BN.
Yang pertama ialah bertanding di Penanti untuk menentang PKR. BN akan dengan mudahnya akan tewas. Pakatan pula akan mendombakan bahawa keputusan itu melambangkan referendum terhadap kepimpinan Najib, dan bermacam-macam interpretasi lagi yang membolehkan nama Pakatan naik dan pada waktu yang sama, memalukan BN. (MIC akan lebih bersetuju supaya UMNO meletakkan calon untuk menentang PKR di Penanti, supaya kalau kalah pun, kalah bertanding, dan tidak dengan mudah untuk menyerah diri. Dalam masa yang sama, MIC ingin membuktikan kepada Najib bahawa sebenarnya UMNOlah yang merupakan faktor yang menyebabkan calon-calon MIC kalah pada PRU12 yang lalu. Ini untuk cover tuntutan MIC hendak dapat portfolio lebih besar di 1Kabinet).
Yang kedua ialah meletakkan calon bukan UMNO untuk menentang calon Melayu PKR. Opsyen kedua ini akan memudahkan lagi PKR untuk menang di Penanti. Dengan peratusan pengundi Melayu yang ramai (73%), agak sukar bagi calon bukan Melayu untuk mendapat undi yang banyak, walau pun mereka dari BN. Gerakan mungkin akan cuba mencadangkan opsyen ini.
Opsyen ketiga ialah seperti saranan PM Najib agar BN tidak bertanding kerana alasan membazirkan wang dan jentera parti. Tetapi ramai juga yang kurang bersetuju kerana opsyen ini akan dikatakan menampakkan kebaculan UMNO-BN sehingga takut sangat dengan kekuatan PKR di Penanti.
Opsyen keempat, yang pada pendapat Jurublog akan diguna pakai oleh UMNO-BN, ialah dengan tidak meletakkan calon rasmi, tetapi secara senyap menyokong calon yang bertanding atas tiket bebas. Opsyen ini akan mengurangkan kehendak untuk menggerakkan jentera parti secara habis-habisan semasa tempoh kempen. Dalam masa yang sama, penceramah-penceramah UMNO-BN boleh tumpang sekaki semasa kempen untuk memperburukkan prestasi Fairus di Penanti dan ketidak berkesanan kerajaan DAP di Pulau Pinang. Jika opsyen ini dipilih, media perdana akan dengan hebat menghebahkan bahawa UMNO-BN tidak terlibat dalam menyokong calon bebas dan lain-lain lagi.
PKR akan tetap menang di Penanti nanti. Sekiranya opsyen keempat diterima pakai, PKR perlu memastikan bahawa calon PKR menang besar mengatasi calon bebas. PKR perlu memastikan bahawa calon bebas tersebut hilang wang pertaruhannya. Sekiranya tidak, malu juga PKR sekiranya tidak mendapat mandat jitu di kubu kuat mereka.
Best Case Scenario bagi UMNO-BN ialah bagi Opsyen keempat (calon bebas yang disokong UMNO-BN) yang mana calon tersebut dapat mengurangkan majoriti undi yang diperolehi oleh PKR. UMNO-BN dengan itu dapat mengatakan bahawa PKR bukan pilihan sebenar rakyat, kerana calon yang tidak berparti pun dapat memperolehi undi mengurangkan majoriti. Tetapi, disebaliknya pula, sekiranya calon bebas tersebut dapat mengurangkan majoriti undi PKR, propaganda PKR akan menyatakan bahawa calon bebas adalah lebih diterima rakyat berbanding dengan calon UMNO-BN.
Walau macamana pun, UMNO-BN tetap akan kalah di Penanti, dan terus mendapat propaganda negatif dari Pakatan dan rakan-rakan media yang menyokong pembangkang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Jurublog saya ada gambar yg menunjukkan PR pro Zionis sila download dilink ini http://www.ziddu.com/download/4370444/Zionis.zip.html
Post a Comment