Saturday, May 16, 2009

Harga petrol RON97 naik ke RM2.00 dengan pengenalan RON95: Apa jadi dengan subsidi?

Dari segi kaedah pemasaran, sekiranya sesebuah perniagaan itu ingin melonjakkan margin keuntungan syarikat, salah satu kaedahnya ialah dengan memperkenalkan produk tersebut melalui pakej baru.

Sebagai contoh, katakan produk tersebut dijual melalui pek 1kilogram pada harga RM10.00 (bersamaan RM1.00 setiap 100gram). Kaedahnya ialah dengan memperkenalkan pek ”ekonomi” yang lebih kecil saiznya, misalnya 800gram. Walau pun diperkenalkan sebagai pek ekonomi, syarikat selalunya memasarkan pek ekonomi tersebut pada harga RM9.00 (bersamaan RM1.10 setiap 100gram atau pertambahan 10%).

Orangramai akan ”terpedaya” kerana pek ekonomi tersebut dijual pada harga RM9.00 iaitu RM1.00 lebih murah berbanding dengan harga asal iaitu RM10.00. Walau pun pada hakikatnya, harga barangan tersebut telah dinaikkan. Selalunya juga, serentak dengan pengenalan ”pek ekonomi” tersebut, pek asal 1kg akan dikeluarkan daripada pasaran. Atau berkemungkinan pek ”keluarga” yang lebih besar saiznya pula akan diperkenalkan iaitu sebanyak 1.2kg, pada harga RM13.00.

Begitulah yang akan berlaku apabila kerajaan memutuskan untuk memperkenalkan petrol RON95.

Kerajaan telah memaklumkan bahawa petrol RON95 yang lebih rendah grednya akan deperkenalkan mulai 1 September 2009. Dengan pengenalan petrol RON95, harga petrol RON97 akan dinaikkan daripada RM1.80 seliter ke RM2.00 seliter (kenaikan 11%). Petrol RON95 pula akan dijual pada harga RM1.75 seliter (kurang 5 sen daripada harga RON97 sekarang ini).

Dahulu, kerajaan telah menjanjikan subsidi sebanyak 30sen seliter bagi petrol. Kerajaan Pak lah dengan polisi flip flopnya telah memotong subsidi tersebut.

Menurut kenyataan mengenai RON95, kerajaan akan memberi subsidi sebanyak 3 sen setiap liter (iaini kurang 90% daripada subsidi 30 sen yang dijanjikan).

Bagi RON97 pula, kenyataan yang sama menyatakan bahawa kerajaan sekarang ini memberi subsidi sebanyak 6 sen seliter (pada harga RM1.80 seliter). Maka, mulai 1 September 2009, sekiranya RON97 dinaikan ke harga RM2.00 seliter, kerajaan akan mendapat ”pendapatan cukai petrol” sebanyak 14 sen setiap liter RON97.

Apabila kita secara peribadi sibuk menangani krisis ekonomi, kerajaan juga sibuk menaikkan cukai secara halus bagi menampung perbelanjaan negara.

Semuanya ini akan berlaku sebaik sahaja sebelum kita menyambut Hari Raya Puasa. Maka akan berebut-rebutlah para peniaga mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan mereka sekali lagi.

No comments: